Rabu, 24 September 2008

TASIK Desa Pinggiran Putra









Pemandangan Hadapan TASIK Desa Pinggiran Putra







Taska Sinaran Kasih
No. 2 JLN PINGGIRAN PUTRA 4/4
DESA PINGGIRAN PUTRA SG MERAB
43650 BANDAR BARU BANGI SELANGOR
(sempadan PUTRAJAYA)

Selasa, 23 September 2008

Meninjau Semula Tarikh 27 Rejab

Tarikh 27 Rejab agak masyhur di kalangan umat Islam kerana ia adalah tarikh yang dikatakan berlakunya peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj. Pada malam itu dikatakan Rasulullah s.a.w. telah di-Isra’ dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Kemudian baginda di-Mi’raj dari Masjid al-Aqsa ke arah langit, melepasi lapisan-lapisannya sehinggalah ke Sidrat al-Muntaha.
Saya tidak mengingkari peristiwa agung ini. Ia adalah salah satu mukjizat yang Allah kurniakan kepada hamba-Nya yang teristimewa, Muhammad. Allah mengkhabarkan peristiwa Isra’ dalam ayat pertama surah al-Isra’: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan (Isra’) hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [al-Isra’ 17:01]

Allah mengkhabarkan peristiwa Mi’raj dalam ayat tiga belas hingga lapan belas surah al-Najm: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi Sidrat al-Muntaha, yang di sisinya terletak Syurga Jannah al-Makwa. (Nabi Muhammad melihat Jibrail dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa (Sidrat al-Muntaha) itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (pemandangan indah di situ yang dia diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda Tuhannya.” [al-Najm 53:13-18]
Memang ada yang cuba mentakwil peristiwa Isra’ dan Mi’raj sebagai konon hanya merupakan mimpi Rasulullah s.a.w.. Alhamdulillah saya telah membantah takwilan ini dalam artikel Isra’ dan Mi’raj: Mukjizat Rasulullah Yang Kedua Terbesar. Ia dimuatkan dalam buku Membongkar Aliran Islam Liberal terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
Akan tetapi yang ingin saya buka untuk perbincangan adalah tarikh 27 Rejab itu sendiri. Jika dikaji ayat-ayat al-Qur’an di atas dan hadis-hadis yang sahih, tidak ditemui penetapan tarikh 27 Rejab. al-Qur’an dan al-Sunnah hanya mengkhabarkan peristiwa Isra’ dan Mi’raj tanpa mengkhabarkan tarikh ia berlaku.Sebenarnya para ilmuan Islam, khasnya para ahli sejarah, juga tercari-cari tarikh sebenar berlakunya Isra’ dan Mi’raj. Secara pasti ia berlaku setelah lawatan dakwah Rasulullah ke Ta‘if dan sebelum penghijrahan ke Madinah.
Syaikh ‘Abd Allah bin ‘Abd al-‘Aziz al-Tuwaijiri telah menghimpun dua belas pandangan berkenaan tarikh Isra’ dan Mi’raj. Di antara dua belas pandangan tersebut, paling awal ia dikatakan berlaku lima tahun sebelum hijrah manakala paling lewat ia dikatakan berlaku enam bulan sebelum hijrah. [al-Bida’ al-Hauliyah, ms. 291-292]Adapun anggapan peristiwa Isra’ dan Mi’raj berlaku pada bulan Rejab, ia telah ditolak oleh al-Imam Abu Syamah (665H). Beliau menegaskan: “Sebahagian ahli sejarah menjelaskan bahawa peristiwa Isra’ terjadi pada bulan Rejab. Akan tetapi mengikut sebahagian yang lain peristiwa Isra’ itu bukan terjadi pada bulan Rejab dan maklumat yang menjelaskan peristiwa itu terjadi pada bulan tersebut dianggap bohong.” [al-Baits ‘ala Ingkar al-Bida’ wa al-Hawadits, ms. 174]
Justeru yang benar tidak ada penetapan tarikh bagi peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Tanpa adanya penetapan tersebut, bererti tiada juga apa-apa ibadah yang boleh dikaitkan dengan malam atau hari Isra’ dan Mi’raj. Seandainya Allah dan Rasul-Nya menginginkan kita – umat Islam – meraikan malam dan hari Isra’ dan Mi’raj dengan ibadah tertentu, nescaya akan dikhabarkan kepada kita melalui jalan yang sahih akan tarikh tersebut. Ini sepertimana sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, hari pertama bulan Syawal dan sebagainya.Menyentuh tentang ibadah, terdapat beberapa riwayat yang menerangkan keutamaan bersolat dan berpuasa sempena Isra’ dan Mi’raj. Akan tetapi riwayat-riwayat tersebut tidak ada yang bertaraf sahih atau hasan, bahkan ia bertaraf maudhu’ (palsu) dan dha’if jiddan (amat lemah) hingga tidak dapat dijadikan dalil mahupun sandaran anjuran beramal.
Drs. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris telah menghimpun riwayat-riwayat tersebut dan menerangkan kecacatannya dalam buku beliau Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’ (Jilid 1 dan 2) yang diterbitkan oleh al-Hidayah, Kuala Lumpur.Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah (728H) menerangkan: “Tidak diketahui dari seorang jua dari kalangan Muslimin bahawa dia menjadikan malam Isra’ keutamaan tersendiri atas malam-malam yang lain, lebih-lebih lagi atas malam al-Qadar (Lailatul Qadar). Para sahabat dan generasi tabi‘in yang dikenali dengan kebaikan mereka, pun tidak pernah mengkhususkan malam Isra’ dengan kegiatan tertentu. Bahkan mereka tidak memperingatinya.
Oleh kerana faktor inilah sehingga tidak diketahui bila waktunya (atau tarikh peristiwa Isra’ dan Mi’raj).Meskipun Isra’ termasuk keutamaan baginda yang sangat agung, namun tidak disyariatkan mengkhususkan waktu dan tempat tersebut dengan ibadah syar’i. Bahkan Gua Hira’ yang merupakan tempat awal turunnya wahyu dan selalu didatangi oleh baginda sebelum kenabian, tetap tidak dikunjungi oleh baginda mahupun para sahabat baginda setelah kenabian selama baginda tinggal di Mekah.
Juga tidak dikhususkan waktu di mana wahyu turun dengan ibadah atau acara tertentu. Sebagaimana baginda tidak mengkhususkan tempat awal turunnya wahyu dan waktu (turunnya wahyu pertama) dengan aktiviti apapun.Sesiapa yang mengkhususkan tempat dan waktu dengan ibadah atas dasar kemahuannya sendiri, hanya dengan dalih hal-hal seperti di atas, maka dia termasuk kategori ahli kitab yang menjadikan waktu bagi peristiwa-peristiwa yang dialami oleh Nabi ‘Isa alaihis salam sebagai (penentu) acara-acara ritual dan ibadah. Seperti hari kelahiran, hari penyaliban dan peristiwa-peristiwa selainnya.” [Dinukil oleh al-Imam Ibn al-Qayyim (757H) dalam Zaad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad, jld. 1, ms. 37].

Bolehkah Manusia Masuk Alam Jin & Sebaliknya

Bolehkah Manusia Masuk Alam Jin & Sebaliknya
Soalan :

Banyak perkara ganjil berlaku. Salah satu yang ganjil adalah cerita mengenai manusia yang dilarikan jin masuk ke alamnya dan hilang dari alam manusia. Beberapa ketika kemudian orang berkenaan muncul balik dan memberitahu dilarikan jin. Ada orang kampung saya yang hilang, selepas tujuh hari mencarinya, tiba-tiba dia ditemui di belakang rumahnya. Betulkah cerita-cerita sebegini. Harap Dato' dapat jelaskan.SUBHAN JAMAL,Kuala Langat
Jawapan oleh Dato' Dr Haron Din : Saya pun banyak mendengar cerita seperti yang saudara sebutkan itu. Boleh dipercayai atau tidak, jawapan saya boleh.

Cerita sebegitu boleh dipercayai. Tetapi ingin saya berpesan, jangan sesekali kita mempercayainya bulat-bulat tanpa diselidiki sehalus-halusnya.
Dunia kita ini didiami oleh banyak makhluk. Manusia, jin, haiwan, unggas-unggas, ikan dan sebagainya. Apabila kita berkongsi tempat tinggal di dunia ini, maka dengan sendirinya kita akan berinteraksi dengan semua makhluk ini. Kita akan berjumpa, berkawan, bersapa, bermusuh dan sebagainya.

Syaitan (makhluk halus) wujud. Mereka pada umumnya adalah musuh manusia. Makhluk halus boleh menyerupai manusia dengan pelbagai rupa. Salah satunya mereka boleh menyerupai manusia seperti yang disabitkan dalam Firman Allah SWT dalam al-Quran (mafhumnya): "Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka, serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku (syaitan) adalah pelindung dan penolong kamu........(hingga akhir ayat)." (Surah al-Anfaal, ayat 48)
Kesimpulan daripada ayat ini menurut ahli tafsir, adalah peristiwa dalam Perang Badar, apabila syaitan yang zahir dalam bentuk manusia, dikenali menyerupai Suraqah bin Malik bin Jukshum. Suraqah (syaitan tadi) bersama dengan bala tenteranya, kononnya mahu menolong kuffar Makkah ketika itu untuk mengalahlan umat Islam.

Akhirnya apabila bertemu kedua-dua pasukan, Suraqah bersama bala tenteranya, lintang pukang cabut lari dari medan peperangan. Rupa-rupanya Suraqah dan tenteranya, bukan Suraqah sebenar yang dikenali oleh puak Musyrikin, ia adalah jelmaan syaitan.

Jelas daripada ayat ini, menunjukkan syaitan (makhluk halus) boleh berubah menjadi makhluk kasar, dan atas perkara yang sama, makhluk kasar (seperti manusia) boleh berubah menjadi makhluk halus. Manusia boleh hilang pada pandangan mata kasar dan berada dalam alam makhluk halus.
Dalam Kitab Gharaib Wa'ajaaibul Jinn karangan Al-Muhadith al-Qadi Badruddin as-Syubli, di halaman 99 ditulis suatu tajuk ‘Hukum ke atas isteri yang suaminya dilarikan jin'.

Diceritakan di dalam bab tersebut, bahawa pada zaman Umar al-Khattab (r.a.) menjadi khalifah, seorang perempuan mengadu kepada Umar tentang kehilangan suaminya (dilarikan jin). Umar bertanyakan wanita tersebut dan membenarkan dakwaannya.

Umar memberi hukum, perempuan itu terpisah dengan suaminya dan hendaklah ber'idah selama 4 tahun. Sesudah genap ber'idah, dia mendatangi Umar sekali lagi untuk meminta kebenaran berkahwin.

Setelah berkahwin dengan suami yang kedua, suami pertama yang hilang dahulu muncul semula dan mereka bersengketa kerana perempuan itu ada dua orang suami.

Mereka mendatangi Umar semula kerana dialah yang membenarkan perempuan itu berkahwin.
Umar berkata kepada suami pertamanya mengapa kamu menghilang diri begitu lama. Lalu lelaki itu menjawab dengan mengatakan beliau mempunyai alasan yang kuat kerana, dia ditawan oleh jin sepanjang masa dia hilang tersebut. Dia akhirnya dibebaskan.

Umar memberikan pilihan kepada suami yang pertama itu iaitu, sama ada hendak bersama dengan isterinya, dia akan memfasahkan perkahwinan kedua, atau dia menceraikan isterinya kerana ada suami yang kedua dan dia berhak mendapat kembali mahar yang dibayarnya semasa berkahwin dahulu.

Kisah ini dengan sendirinya membenarkan cerita bahawa terdapat manusia yang hilang kerana disembunyikan makhluk halus dan boleh kembali semula.

Namun demikian tidak semua cerita seperti ini benar. Kadang-kadang ada orang yang mengambil kesempatan, dia menghilang diri, bukan disorok jin, tetiba muncul semula dengan dakwaan sedemikian.

Tidak mustahil, orang yang mempunyai masalah dirinya, menghilangkan diri daripada orang ramai dengan pergi ke tempat yang jauh, akhirnya pulang dengan masalah-masalah yang tertentu.

Hal sebegini, kes-kes manusia dihilangkan jin jarang berlaku. Ianya kes terpencil, kita patut berhati-hati.
Wallahua'lam.
(Petikan dari Ruangan bersama Ustaz Dr. Haron Din: Harakah Bil.1340